Sunday, July 10, 2011

Kejatuhan Kedah di tangan kuasa asing akibat dari PERBELANJAAN PERKAHWINAN DIRAJA!








Perkahwinan 3 Juta

Perkahwinan 3 juta merupakan istiadat perkahwinan DiRaja Bagi perkahwinan lima orang putera dan puteri Sultan Abdul Hamid iaitu Tunku Ibrahim, Tunku Abdul Rashid, Tunku Jamjam, Tunku Rokiah dan Tunku Joriah yang diadakan selama 3 bulan pada tahun 1906. Istiadat peminangan telah dilangsungkan pada 15 Jun 1904. Istiadat ini telah dilaksanakan oleh 15 orang iaitu 3 orang lelaki (tua), 3 orang perempuan (tua) bersama-sama dengan 6 orang pemuda dan 3 orang pemudi. Orang-orang tua diberi tanggungjawab dalam urusan menjalankan proses peminangan itu. Pemuda-pemuda itu pula membawa cepu yang berisi "mas kahwin" termasuk wang dan barang-barang hadiah yang lain. Selepas ketua rombongan menyampaikan surat pinangan kepada ayah pengantin perempuan atau kepada wakilnya dan kemudiannya surat itu dibaca di hadapan orang ramai. Selepas itu, rombongan peminangan pulang diiringi paluan nobat dan dipayungi dengan "obor-obor hijau".

Perkahwinan tersebut telah diadakan secara besar-besaran melibatkan semua daerah di dalam negeri. Persediaan yang diatur meliputi bekalan beras yang banyak, ayam, itik dan kerbau. Semua tanah jajahan diminta mengadakan persembahan makanan untuk perayaan ini. Balai-balai didirikan di Alor Setar sebagai tempat jamuan untuk tetamu-tetamu yang hadir. Balai ini didirikan di sebuah padang yang terletak antara Masjid dan Balai Besar yang kini dikenali sebagai "Padang Court".

Persiapan Istiadat Perkahwinan

Semua rakyat Kedah pada ketika itu yang terdiri daripada pelbagai bangsa telah diminta untuk mendirikan bangunan, membersihkan jalan raya-jalan raya dan bandar-bandar. Mereka telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan akan diberi 2 ekor kerbau dengan seguni beras pada setiap hari.

Selain barang makanan dan pakaian yang terdapat di dalam Negeri, banyak barang-barang keperluan telah dibawa masuk dari luar negeri. Satu taksiran menyatakan bahawa sebanyak 5 buah kapal, yang sarat dengan barang-barang tiba di Kedah. Sekolah Melayu Jalan Baharu telah digunakan untuk menyimpan barang-barang berkenaan sehingga runtuh lantainya kerana terlalu banyak barang yang disimpan.

Persandingan yang pertama ialah persandingan Putera Sultan yang sulung bernama Tunku Ibrahim yang terkenal dengan gelaran "Tunku Sulong". Istiadat perkahwinan Tunku Ibrahim mengambil masa selama dua minggu, selang beberapa hari selepas itu, perkahwinan Tunku Abdul Rashid (Tunku Daii), Tunku Jamjam (Tunku Pok), Tunku Rokiah dan Tunku Jora dilangsungkan. Selama tiga bulan, semua tetamu yang datang dari seluruh negeri Kedah diberi makan secara percuma. Dewan-dewan yang dibina adalah seperti rumah-rumah tumpangan percuma dengan makanan dan minuman boleh didapati pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya 40 ekor lembu dan kerbau disembelih setiap hari.

Pada sebelah malam pula diadakan berbagai-bagai persembahan seperti Bangsawan, Wayang Kulit, Hadrah dan acara silat. Terdapat wayang Melayu, Cina, India dan Siam. Empat panggung ronggeng disediakan bersama 7 orang penari yang datang dari Singapura dan Pulau Pinang.

Kesimpulan

Perbelanjaan mengadakan istiadat perkahwinan DiRaja ini menelan belanja sebanyak 3 hingga 4 juta ringgit. Kerajaan Kedah pada masa itu tidak mampu menyediakan perbelanjaan sebanyak itu. Oleh itu, pinjaman telah dibuat daripada Kerajaan Siam bernilai $2,600,000 dengan dikenakan beberapa syarat antaranya melantik Mr. Kart menjadi Penasihat Kewangan di Kedah. Dalam tahun 1909, apabila Kedah menjadi negeri naungan Inggeris, seorang penasihat Inggeris bernama Mr. W.G Maxwell telah dilantik. Oleh yang demikian kerajaan Inggerislah yang bertanggungjawab untuk melangsaikan hutang tersebut kepada Kerajaan Siam. Justeru, perkahwinan yang menelan perbelanjaan yang besar itu adalah antara faktor yang menjadi punca campur tangan Inggeris di Kedah.




Gambar 1. Sebuah bangunan yang indah di hadapan istana pelamin merupakan balai jamuan untuk kerabat DiRaja yang digunakan selama 90 hari



Gambar 2. Panca Persada ialah sebuah senibina tujuh tingkat untuk menyiram pengantin DiRaja dalam istiadat perkahwinan. Ianya didirikan dalam kawasan istana pelamin di belakang balai besar




Gambar 3. Sepasang pengantin akan dikahwinkan selang dua minggu sejak Jun 1904. Sebelum istiadat bersanding, para dayang dan inang dari istana akan memungut daun inai dari "Tambak" dalam gambar ini. Letaknya di sebelah kanan Balai Besar.


Gambar 4. Pengantin DiRaja disiramkan di atas Panca Persada. Setiap pasangan diletakkan di atas genta di dalam gambar dan air siraman akan mengalir dari mulut naga ke atas badan pengantin.


Sumber: PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI KEDAH