Insiden bedilan meriam di Pulau Yeonpyeong pada 23 November menarik perhatian semua. Dimana-mana, orang bercakap tentang kemungkinan Perang Korea antara Korea Utara dan Korea Selatan.
Dan ramai pula yang melihat statistik di akhbar, meramalkan perang benar-benar akan tercetus dan akan memihak kepada tentera Korea Utara (KPA- Korean People's Army) berdasarkan jumlah anggota dan persenjataan yang yang besar. Bagaimanapun, peruntukan kewangan dan kecanggihan peralatan milik tentera Korea Selatan (ROKA - Republic of Korea Army) adalah jauh mengatasi KPA, mengikut analisis militari sehingga lima nisbah satu.
Perang besar-besaran bagaimanapun adalah pilihan terakhir untuk ROKA kerana ianya akan mengakibatkan kemakmuran ekonomi yang dinikmati Korea Selatan selama beberapa dekad akan terancam dan mungkin musnah. Rakyatnya sendiri berbelah bahagi tentang rancangan memerangi KPA, walaupun kemungkinan menang peperangan itu adalah sangat tinggi.
Bagi Korea Utara pula, melancarkan perang besar-besaran pula pastinya akan menyebabkan tindakbalas keras dari PBB dan AS, bakal menyaksikan berakhirnya kekuasaan Kim Jong-il dan Parti Pekerja Koreanya menjadi seperti juga nasib rejim Saddam Hussein di Iraq. Gertakan ancaman senjata nuklear juga nampaknya setakat ini masih kurang berjaya menarik perhtian AS untuk kembali ke meja rundingan.
Dengan kekuatan senjatanya yang usang, KPA yang sedang menyaksikan perubahan tampuk pemerintah tentera dan negara dari Kim Jong-il kepada anaknya Kim Jong Un mungkin agak terdesak untuk menunjukkan keampuhan dan kekuasaan mereka kepada rakyat Korea Utara. Anggota KPA yang besar lebih 1 juta anggota itu juga menghadapi banyak masalah seperi kekurangan bekalan makanan, persenjataan dan kerapuhan moral. Lebih separuh anggota KPA kekurangan latihan ketenteraan, malahan dikerahkan pula dalam projek pertanian dan pembinaan di seluruh Korea Utara. Juruterbangnya juga menghadapi masalah kekurangan latihan yang serius akibat dari catuan bahan api. Ini pasti akan memberi kesan yang besar dalam peperangan moden yang serba mencabar.
Dasar Self-Reliance (berdikari) yang diamalkan Korea Utara sejak kejatuhan komunisme di Soviet Union dan Eropah Timur, nyata memakan diri sekarang. Keterasingan penduduknya dari sekeliling dunia, pemujaan pemimpin yang melampau (memuja Kim Jong-il dan bapanya Kim Il Sung), ketiadaan simpanan rizab matawang asing, larangan memiliki harta peribadi (seperti kereta, tanah, kebun, kedai, dan lain-lain, semuanya milik negara), kemarau panjang dan kebuluran, dasar Military-First yang menyebabkan kebanyakan hasil negara digunakan untuk ketenteraan dan pelbagai faktor lagi menyebabkan keadaan di Korea Utara sekarang amat perlu diberi perhatian.