Showing posts with label undang-undang. Show all posts
Showing posts with label undang-undang. Show all posts

Tuesday, September 7, 2010

Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang selalu dikecoh-kecoh dan menjadi bahan politik antara kaum)

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk meindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(4) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut Fasal (1) hingga (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan mana-mana orang daripada apa-apa jawatan awam yang dipegang olehnya atau daripada terus mendapat biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain yang dinikmati olehnya.

(5) Perkara ini tidaklah mengurangkan peruntukan Perkara 136.

(6) Jika menurut undang-undang persekutuan yang sedia ada suatu permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan fungsinya di bawah undang-undang itu mengikut apa-apa cara, atau memberikan apa-apa arahan am kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan di bawah undang-undang itu dengan pemberian permit atau lesen itu, sebagaimana yang dikehendaki untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklaah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(7) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh berkuat kuasa untuk melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu atau untuk memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-mana orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak seseorang jika pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.

(8) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika menurut mana-mana undang-undang persekutuan apa-apa permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka undang-undang itu boleh membuat peruntukan bagi perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak; tetapi tiada undang-undang sedemikian boleh, bagi maksud memastikan perizaban itu—

(a) melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu; atau
(b) memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-manaa orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang jika pembaharuan atau pemberian itu mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan, atau menghalang mana-mana orang daripada memindahkan hakmilik bersama dengan perniagaannya apa-apa lesen yang boleh dipindahkan hakmiliknya untuk mengendalikan perniagaan itu; atau
(c) jika tiada permit atau lesen dahuluya dikehendaki bagi mengendalikan pertukangan atau perniagaan itu, memberi kuasa untuk menolak pemberian permit atau lesen kepada mana-mana orang bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan yang telah dijalankan olehnya secara bona fide sebaik sebelum undang-undang itu mula berkuat kuasa, atau memberi kuasa untuk menolak pembaharuan kemudiannya mana-mana permit atau lesen mana-mana orang, atau untuk menolak pemberian mana-mana permit atau lesen sedemikian kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang itu jika, mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu, pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.

(8A) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(9) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(9A) Dalam Perkara ini ungkapan "anak negeri" berhubung dengan Negeri Sabah atau Sarawak hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Perkara 161A.

(10) Perlembagaan Negeri yang ber-Raja boleh membuat peruntukan yang bersamaan (dengan ubah suaian yang perlu) dengan peruntukan Perkara ini.

Monday, February 9, 2009

Kemelut DUN Perak:Kebebalan terhadap Perlembagaan yang disengajakan

Oleh: MOHD FADZLI BIN MOHD RAMLY

Saya sebenarnya cuba mengelak diri dari menyentuh soal politik dalam blog saya ini. Tapi keadaan semasa seolah-olah membuatkan saya rasa berdosa dan seperti 'syaitan bisu' sekiranya saya diam membatu. Saya gagal melawan runtunan jiwa dan warna sebenar saya.

Tidak dapat saya nafikan bahawa isu yang berlaku di Perak adalah merupakan persoalan perlembagaan dan isu perundangan. Tetapi saya amat berkeyakinan dan menegaskan bahawa isu sebenar di Perak adalah kuasa eksekutif dan sistem beraja telah 'merompak' kerajaan negeri dari rakyat Perak!

Isu pertama adalah adalah kuasa sultan untuk mengarahkan perletakkan jawatan Menteri Besar dari Nizar. Saya bersedia untuk bertanggungjawab menyatakan bahawa tindakan Sultan adalah salah di sisi undang-undang! Perlembagaan Negeri Perak memperuntukkan bahawa Menteri Besar tidak memegang jawatan tersebut dengan perkenan Sultan.

Artikel 16(6) Perlembagaan Perak menyebut :

If Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the members of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council.

Soalan saya: Bagaimana hendak menentukan bahawa MB telah hilang keyakinan di DUN? Siapa yang berhak menentukan kehilangan keyakinan tersebut? adakah Sultan berhak menentukannya? atau dimana kita hendak mengukur bahawa MB telah kehilangan mandat negeri?

Yang berlaku: satu sidang akhbar Najib bersama-sama ADUN-ADUN yang dikatakan melompat dan diistiharkan bahawa BN telah memperolehi majoriti yang cukup untuk tubuh kerajaan negeri! Saya nak tegaskan bahawa perkara ini adalah tidak sah untuk mengesahkan bahawa MB telah hilang keyakinan di DUN Perak! Malah ianya adalah salah sama sekali di sisi undang-undang! Hanya satu cara iaitu dibuat di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri melalui Undi Tak Percaya (vote of no confidence) di DUN. Sultan tidak boleh hanya mengarahkan MB mengosongkan jawatan begitu sahaja!

Kedua: Siapakah sebenarnya memegang majoriti di DUN Perak? Menjawab isu ini adalah perlu untuk kita melihat komposisi DUN Perak. 28 Pakatan Rakyat, 28 BN dan 3 Bebas. Justeru, kita harus mengkaji kedudukan 3 anggota "Bebas" ini. Sebelum bertanya siapakah yang mereka sokong, adalah perlu diakses kesahihan kedudukan mereka di DUN memandangkan isu perletakan jawatan mereka berbangkit. Perletakan mereka telah dimaklumkan oleh Speaker DUN kepada SPR, tetapi SPR menolak surat perletakan jawatan ketiga-tiga ADUN tersebut atas alasan terdapat keraguan terhadap surat perletakan jawatan beliau. Soalnya adakah SPR mempunyai bidangkuasa menolak perletakan jawatan tersebut yang dimaklumkan oleh Speaker DUN Perak kepada mereka?

Dari aspek perundangan, saya tegaskan bahawa SPR tidak mempunyai apa-apa kuasa melalui samada Perlembagaan Persekutuan, Akta SPR 1957 mahupun Akta Pilihanraya 1958. SPR telah melangkaui kuasanya yang sedia ada! Yang ada hanyalah, peruntukan apabila Speaker DUN memaklumkan SPR kekosongan kerusi DUN terbabit, terima dan laksanakan Pilihanraya Kecil di kawasan terbabit. Oleh yang demikian, dimana kuasa SPR untuk tidak menerima makluman Speaker? Jadi adakah boleh kita menggangap BN miliki majoriti? Dalam hal ini, saya sangat percaya bahawa SPR telah jadi "tapir tunggangan" apabila membelakangkan arahan Speaker tersebut!

Dengan berkeadaan 28 kerusi Pakatan, 28 kerusi BN dan 3 Bebas, keadaan Perak amat tidak menentu. Bagaimana pula 3 Bebas kembali menyokong Pakatan? Tak ke haru jadinya..Oleh itu cara terbaik adalah serahkan kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya negeri! Nasib dan mandat rakyat Perak tidak harus diserahkan hanya kepada pemimpin korup dan seorang Sultan. SUHAKAM sendiri berpendapat bahawa mandat perlu diserahkan kembali kepada rakyat Perak.

Saya berhujah di sini bukanlah berniat untuk menderhakai Sultan dan sistem Raja Berpelembagaan negara ini. Saya percaya bahawa hujah saya ini adalah amat konstitutional dan mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

Saya percaya bahawa isu ini akan menimbulkan banyak aplikasi perundangan dan perlembagaan. Adalah terlalu dangkal dan dajal untuk mengatakan bahawa Sultan tidak boleh disaman di sisi undang-undang dan beralasankan derhaka, kerana apa yang berlaku adalah Sultan dinamakan sebagai Defendan bertujuan untuk memperolehi finding fact ataupun natijah terhadap sesuatu persoalan undang-undang dan bukan ingin mengheret Sultan ke penjara. Justeru, pemimpin politik kerajaan haram jangan menghina diri mereka! Biarlah kerajaan mereka haram, jangan diri mereka juga haram di sisi undang-undang..

Ya! Saya adalah penderhaka kepada sistem yang khianat kepada rakyat!

dipetik dari: http://peguamkita.blogspot.com/