Seramai 26,000 guru opsyen Matematik dan Sains terpaksa  mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan  Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh  negara.
Menurut sumber, lambakan serius membabitkan 14,000 guru  subjek Sains dan 12,000 guru Matematik itu menyebabkan mereka yang  diarah mengajar opsyen lain tidak dapat menjayakan tugas dengan penuh  semangat.
“Ada antara mereka hilang motivasi diri dan begitu  emosi untuk meneruskan kerjaya murni itu. Guru terbabit mengakui, pada  peringkat awal bersemangat mendidik pelajar untuk lulus cemerlang Sains  dan Matematik. Namun, selepas lima tahun mengajar subjek lain, mereka  lemah semangat dan terpaksa melupakan cita-cita untuk bergelar guru  Sains dan Matematik berwibawa,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden  Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof  Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata kementerian perlu  memanfaatkan lebihan guru itu untuk memperkasakan subjek Sains dan  Matematik kepada pelajar luar bandar dan pedalaman dengan menghantar  mereka ke sana.
Katanya, ia sejajar Dasar 60:40 2010 iaitu 60  peratus pelajar aliran Sains dan 40 peratus Sastera pada peringkat  sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, subjek  Sains dan Matematik penting untuk mencapai sasaran negara maju menjelang  2020 kerana ia adalah pemangkin kepada pembangunan sains dan teknologi.
“Kerajaan  wajar mengoptimumkan lebihan itu supaya jurang pendidikan pelajar  bandar dengan luar bandar dirapatkan. Saya terkejut kerana andaian umum  selama ini menyatakan kedua-dua opsyen berkenaan menghadapi masalah  kekurangan tenaga pengajar,” katanya.
Seorang pelajar Pendidikan  Matematik Fakulti Sains dan Matematik Universiti Pendidikan Sultan Idris  (UPSI), Mohd Rafiz Raymond, 20, berkata beliau tidak pernah dimaklumkan  mengenai lebihan guru bagi subjek berkenaan.
“Saya terkejut  dengan perkembangan itu kerana selama ini kami mendapat maklumat subjek  Sains dan Matematik adalah mata pelajaran kritikal yang memerlukan lebih  tenaga pengajar,” katanya.
Pelajar Pendidikan Perakaunan,  Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI, Raindy Andurah, 19, pula berkata  beliau memilih matematik sebagai kursus pilihan kerana sepanjang  pengetahuannya subjek itu memerlukan lebih ramai guru.
Dalam  perkembangan berkaitan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan  Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Zakaria Kasa, berkata pihaknya sudah  dimaklumkan mengenai lebihan guru untuk dua subjek berkenaan.
Sehubungan  itu, katanya UPSI sudah meminta pelajar jurusan itu bertukar opsyen  antaranya kepada Sejarah atau Kemahiran Hidup yang memerlukan lebih  ramai tenaga pengajar.
“Mungkin pada masa depan mata pelajaran  Kemahiran Hidup dipertingkatkan sukatannya dan mempunyai pendidikan reka  bentuk kontemporari,” katanya.
- BERITA HARIANv
habis lar...sy dh mohon utk msk blajar utk dip sainsmatematik supaya sy dpt smbg degree dlm pendidikan kimia kelak....apa nasib sy sbg seorang yg bcita2 utk mjadi seorng guru dan mmbntu ank bgsa dlm menukar mentaliti mereka terutamany murid2 melayu yg mnganggp subjek sains terutamany sains tulen adlh subjek yg susah
ReplyDelete